Kedai Kopi Hai Peng, Chukai, Kemaman

Saya patut lebih kerap ke kedai kopi ini jika berada di Kuantan. Untuk saya, kedai ini menyediakan kopi yang paling menepati selera saya. Jika ikut selera saya, kopi di Kedai Kopi Hai Peng adalah kopi yang paling sedap seantero semenanjung ini. Saya mula mencari kedai kopi ini setelah Prof Madya Dr Zakaria menyebut tentang kedai kopi ini di dalam kelas.

Bangunan Lama Kedai Kopi Hai Peng di Kemaman

Kopi yang disediakan oleh kedai ini diproses sendiri menjadi serbuk kopi. Diletakkan pula dalam cawan ala-ala klasik, memang feeling kalau layan kopi di sini. Kalau tak cukup minum secawan di kedai, serbuk kopi boleh dibeli di kaunter dengan harga RM25 sepeket.

White Coffee - Saya tak rasa lagi
Kopi Hitam kegemaran saya
Selain dari kopi, keistimewaan kedai ini juga pada roti bakar yang dibakar menggunakan abu. Macamana rupa bakar pakai abu tu usah tanya sebab saya pun tak pernah tengok. Tapi lepas dihidangkan dengan inti kaya, memang tak cukup satu.


Roti Bakar 

Saya suka cara telur setengah masak dihidangkan. Memang klasik sungguh.

Bekas telur separuh masak
Lama pulak rasa tak makan telur separuh masak dalam piring

Kali ni datang, kami cuba nasi lemak dan nasi dagang juga. Puan Lily memang melambung-lambung dipujinya rasa nasi lemak dan nasi dagang tu. Jika selalu orang menyediakan sambal menggunakan ikan bilis, sambal di kedai ini menggunakan ikan sebagai isi sambal. Lain dari yang lain.

Nasi Lemak dan Nasi Dagang habis selesai

Kebersihan kedai ini tiptop tanpa sampah bagai. Tak ada pinggan cawan terpakai dibiarkan berlarutan di atas meja. Cuma ketika saya sampai kali ini, barangan antik tak ada pulak tak sebagaimana ketika kali pertama saya datang dulu. Kalau ada barang-barang klasik mungkin mood akan naik lebih sikit.
Patut dah tutup tapi orang ramai jugak lagi

Melihat dari nama kedai, mungkin ada ramai yang skeptikal untuk datang. Tapi Kedai Kopi Hai Peng Cuma menyediakan makanan halal dan pekerja-pekerja kedai ini kesemuanya beragama Islam. Cuma kalau ditanya pengesahan halal, mmmm.... tak nampak le pulak. Pelanggan yang hadir bagaimanapun kebanyakannya melayu.

Semua penat baru balik bercuti tapi kenyang 24 jam.
Kalau mahu berkunjung ke sini, masalah sikit jika taip terus Kedai Kopi Hai Peng menggunakan GPS. Papago, Google Maps dan Waze mengarahkan kami ke Kedai Kopi Hai Peng juga, tapi bukan kedai yang asal sebagaimana dalam gambar di atas. Saya kurang pasti samada kedai-kedai yang tertulis Kedai Kopi hai Peng tersebut ada kaitan atau tidak dengan kedai di Jalan Sulaimani ini. Saya akhirnya berjumpa kedai ini setelah membuat pencarian di Google.

Pada yang mahu berkunjung, Kedai Kopi Hai Peng terletak di:

3753, Jalan Sulaimani
Chukai
24000 Kemaman
Terengganu

No. Telefon : 09 - 859 7810

Emel : haipeng40s@yahoo.com

Waktu operasi : dari pukul 6:45 pagi hingga pukul 6:00 petang. (Tapi saya sampai jam 6.15pm pun sempat lagi)

Alemy Maggi Ketam Semerak, Cherang Ruku, Kelantan

(Waktu entri ini ditulis, saya masih lagi di Kelantan menikmati cuti-cuti Malaysia. Ahaks!)

Restoran Alemy Maggi Ketam punya signboard punya kedai

Alemy Maggi Ketam Semerak terletak di Cherang Ruku, Pasir Putih, Kelantan. Sekiranya kamu ada GPS, tak payah susah-susah cari daerah ni lepas tu melilau cari kedai atau penat lelah hafal GPS Coordinate restoran ni. Taip saja ‘Alemy Meggi Ketam Semerak’ di Papago, Google Maps atau Waze, InsyaAllah akan jumpa. Cuma ada sedikit kekeliruan di antara Papago dan lain-lain GPS kerana Papago menandakan kawasan ini di Daerah Bachok dan GPS lagi dua tu dinyatakan sebagai Pasir Putih. Tapi, pakai mana-mana pun sampai selagi GPS tu ada karan.

Akuarium Ketam menjanjikan ketam segar

Kami berkenalan dengan restoran ini di Google. Sebelum dari restoran ini, ada satu spot Maggi Ketam di Pauh Sembilan, Kelantan yang jadi tempat favourite kami layan Maggi Ketam. Tapi untuk kelainan sikit dan sementelah pula nampak banyak pulak selebriti pun singgah makan di sini jadi kami pun menukar haluan. Almaklumlah, di Malaya ini kalau bukan artis yang hendak diikut, siapa lagi?

Semua laporrrr...

Kembali ke cerita restoran. Restoran ini terdiri dari 3 shoplot yang bersebelahan. Bagus juga dia buat 3 shoplot kerna jikalau sekadar 1 shoplot dengan bilangan pelanggan yang seramai itu nescaya ada pelanggan yang tersiku pelanggan lain ketika memakan Maggi. Nescaya akan ada yang bertumbuk di kala itu. Sungguhpun bersaiz besar, kebersihan restoran ini boleh dipuji, toilet pun tak ada la geli geleman pelanggan nak masuk.

Mem kata boleh bagi 4 bintang... saya cakap tak... kalau nak letak 4 bintang buat entri sendiri, Hahaha....

Maggi Ketam yang dijanjikan juga mengikut piawaian tekak saya dan saya boleh faham kenapa ada yang sanggup datang dari jauh untuk menikmati semangkuk Maggi Ketam Alemy ini. Ketam Nipah yang dimasak mempunyai cengkerang yang agak tebal tapi rapuh, jadi dengan pengepit ketam yang disediakan, isi ketam boleh dikeluarkan dengan mudah untuk dimakan. Teknik memasak barangkali yang menyebabkan isi ketam sangat juicy walaupun kalau tengok pada gambar kulit ketam tu nampak kering-kontang masa sampai ke meja. Selain ketam, ada dua ekor udang dan bebola kuning telur turut serta dalam mangkuk tu. Entah bagaimana agaknya, bebola kuning telur tanpa bahagian putih itu cuma ala-ala 3/4 masak di dalam, saya tertanya juga cara masaknya. Kuah maggi hmmmm... kalau ikut saya tidaklah menakjubkan sangat.

Lama tak pegang DSLR, entah hapa-hapa aku snap. Hahahaha,,,


Harga semangkuk Maggi Ketam dalam lingkungan RM20 sehingga ke RM50 mengikut saiz ketam. Mengikut pengalaman, harga ini adalah munasabah kerana semangkuk Maggi diletakkan 2 ekor ketam. Cuma dalam kes kami, ketam dah habis jadi kami hanya dapat seekor ketam semangkuk yang bersaiz sederhana. Kami datang berenam tapi sekadar habis RM70 kira berbaloi jugalah.

Ok, sekarang bahagian negatif pula. Masa menunggunya MasyaAllah lama bebenor. Dari masa kami menjejakkan kaki masuk ke kedai sehingga Maggi Ketam sampai adalah mengambil masa 1 jam 15 minit. Minuman yang dipesan sampai lebih kurang 20 minit sebelum Maggi Ketam sampai. Tiada menu lain selain Maggi Ketam yang ada dalam restoran tersebut jadi nak kunyah-kunyah benda lain sementara menunggu tu memang mintak maap la. Pelayan ada yang berbudi bahasa, ada juga yang kena belajar sekolah sivik balik. Sebab apa kena belajar balik tu malas nak cerita panjang lebar di sini, lagipun kecik punya hal, mungkin dia pun penat. Lagi satu, kami datang berenam tapi pengepitnya yang diberi cuma satu. Dengan yang demikian pengepit kena berkongsi, mungkin sebab pelanggan pun ramai waktu itu dan pengepitnya tak cukup. Jika boleh dipakai nasihat saya, tuanpunya restoran perlu perbaiki pengurusan masa dan mungkin perlu tambah bilangan pekerja barangkali agar lebih efisyen.

Soalannya adakah saya akan kembali ke kedai ini? Nak kata saya tak akan datang balik mungkin tidak kerana Maggi Ketamnya not bad juga cuma mungkin agak over-rated sikit. Saya lebih gemar Maggi Ketam di Pauh Sembilan yang pernah saya pergi dahulu (Entri tu tak ada dalam blog ni, tak payah cari). Yang pastinya, saya tak sanggup nak tunggu lebih dari sejam untuk makanan, terkecuali dalam kategori memang betul berbaloi. Harap maaf, Alemy Maggi Ketam Semerak tidak termasuk dalam kategori itu.

Akan tetapi kalau ada yang nak merasa keenakkan Alemy Magi Ketam Semerak, boleh ke alamat berikut:

Bangunan MDPP,
Jalan Pasir Puteh
Cherang Ruku,
Pasir Puteh Kelantan.

Telefon / SMS
019-9584657
012-9524657

Blog :
www.alemymeggiketam.blogspot.com

Waktu Operasi:
5pm – 2am