Alemy Maggi Ketam Semerak, Cherang Ruku, Kelantan
(Waktu entri ini ditulis, saya masih lagi di Kelantan menikmati cuti-cuti Malaysia. Ahaks!)
![]() |
| Restoran Alemy Maggi Ketam punya signboard punya kedai |
Alemy Maggi Ketam Semerak terletak di Cherang Ruku, Pasir Putih, Kelantan. Sekiranya kamu ada GPS, tak payah susah-susah cari daerah ni lepas tu melilau cari kedai atau penat lelah hafal GPS Coordinate restoran ni. Taip saja ‘Alemy Meggi Ketam Semerak’ di Papago, Google Maps atau Waze, InsyaAllah akan jumpa. Cuma ada sedikit kekeliruan di antara Papago dan lain-lain GPS kerana Papago menandakan kawasan ini di Daerah Bachok dan GPS lagi dua tu dinyatakan sebagai Pasir Putih. Tapi, pakai mana-mana pun sampai selagi GPS tu ada karan.
![]() |
| Akuarium Ketam menjanjikan ketam segar |
Kami berkenalan dengan restoran ini di Google. Sebelum dari restoran ini, ada satu spot Maggi Ketam di Pauh Sembilan, Kelantan yang jadi tempat favourite kami layan Maggi Ketam. Tapi untuk kelainan sikit dan sementelah pula nampak banyak pulak selebriti pun singgah makan di sini jadi kami pun menukar haluan. Almaklumlah, di Malaya ini kalau bukan artis yang hendak diikut, siapa lagi?
![]() |
| Semua laporrrr... |
Kembali ke cerita restoran. Restoran ini terdiri dari 3 shoplot yang bersebelahan. Bagus juga dia buat 3 shoplot kerna jikalau sekadar 1 shoplot dengan bilangan pelanggan yang seramai itu nescaya ada pelanggan yang tersiku pelanggan lain ketika memakan Maggi. Nescaya akan ada yang bertumbuk di kala itu. Sungguhpun bersaiz besar, kebersihan restoran ini boleh dipuji, toilet pun tak ada la geli geleman pelanggan nak masuk.
![]() |
| Mem kata boleh bagi 4 bintang... saya cakap tak... kalau nak letak 4 bintang buat entri sendiri, Hahaha.... |
Maggi Ketam yang dijanjikan juga mengikut piawaian tekak saya dan saya boleh faham kenapa ada yang sanggup datang dari jauh untuk menikmati semangkuk Maggi Ketam Alemy ini. Ketam Nipah yang dimasak mempunyai cengkerang yang agak tebal tapi rapuh, jadi dengan pengepit ketam yang disediakan, isi ketam boleh dikeluarkan dengan mudah untuk dimakan. Teknik memasak barangkali yang menyebabkan isi ketam sangat juicy walaupun kalau tengok pada gambar kulit ketam tu nampak kering-kontang masa sampai ke meja. Selain ketam, ada dua ekor udang dan bebola kuning telur turut serta dalam mangkuk tu. Entah bagaimana agaknya, bebola kuning telur tanpa bahagian putih itu cuma ala-ala 3/4 masak di dalam, saya tertanya juga cara masaknya. Kuah maggi hmmmm... kalau ikut saya tidaklah menakjubkan sangat.
![]() |
| Lama tak pegang DSLR, entah hapa-hapa aku snap. Hahahaha,,, |
Harga semangkuk Maggi Ketam dalam lingkungan RM20 sehingga ke RM50 mengikut saiz ketam. Mengikut pengalaman, harga ini adalah munasabah kerana semangkuk Maggi diletakkan 2 ekor ketam. Cuma dalam kes kami, ketam dah habis jadi kami hanya dapat seekor ketam semangkuk yang bersaiz sederhana. Kami datang berenam tapi sekadar habis RM70 kira berbaloi jugalah.
Ok, sekarang bahagian negatif pula. Masa menunggunya MasyaAllah lama bebenor. Dari masa kami menjejakkan kaki masuk ke kedai sehingga Maggi Ketam sampai adalah mengambil masa 1 jam 15 minit. Minuman yang dipesan sampai lebih kurang 20 minit sebelum Maggi Ketam sampai. Tiada menu lain selain Maggi Ketam yang ada dalam restoran tersebut jadi nak kunyah-kunyah benda lain sementara menunggu tu memang mintak maap la. Pelayan ada yang berbudi bahasa, ada juga yang kena belajar sekolah sivik balik. Sebab apa kena belajar balik tu malas nak cerita panjang lebar di sini, lagipun kecik punya hal, mungkin dia pun penat. Lagi satu, kami datang berenam tapi pengepitnya yang diberi cuma satu. Dengan yang demikian pengepit kena berkongsi, mungkin sebab pelanggan pun ramai waktu itu dan pengepitnya tak cukup. Jika boleh dipakai nasihat saya, tuanpunya restoran perlu perbaiki pengurusan masa dan mungkin perlu tambah bilangan pekerja barangkali agar lebih efisyen.
Soalannya adakah saya akan kembali ke kedai ini? Nak kata saya tak akan datang balik mungkin tidak kerana Maggi Ketamnya not bad juga cuma mungkin agak over-rated sikit. Saya lebih gemar Maggi Ketam di Pauh Sembilan yang pernah saya pergi dahulu (Entri tu tak ada dalam blog ni, tak payah cari). Yang pastinya, saya tak sanggup nak tunggu lebih dari sejam untuk makanan, terkecuali dalam kategori memang betul berbaloi. Harap maaf, Alemy Maggi Ketam Semerak tidak termasuk dalam kategori itu.
Akan tetapi kalau ada yang nak merasa keenakkan Alemy Magi Ketam Semerak, boleh ke alamat berikut:
Bangunan MDPP,
Jalan Pasir Puteh
Cherang Ruku,
Pasir Puteh Kelantan.
Telefon / SMS
019-9584657
012-9524657
Blog :
www.alemymeggiketam.blogspot.com
Waktu Operasi:
5pm – 2am





0 comments:
Post a Comment